Aktiviti Keagamaan: Memperingati Maulud Nabi S.A.W. Peringkat Kebangsaan dengan Semangat Kebersamaan
SPSS Memperingati Maulud Nabi S.A.W. Peringkat Kebangsaan dengan Semangat Kebersamaan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos 2026 – Syarikat Setia Protective Security Services Sdn Bhd (SPSS) telah turut serta dalam Majlis Memperingati Maulud Nabi S.A.W. Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1448H. Acara yang penuh berkat ini telah berlangsung di Padang Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien (Padang SOAS), Bandar Seri Begawan.
Penyertaan delegasi dari SPSS pada tahun ini diketuai oleh Yang Mulia Haji Abd Rahim bin Haji Imran selaku Pemangku Pengurus Keselamatan. Kehadiran beliau bersama-sama warga syarikat mencerminkan komitmen berterusan SPSS dalam menyemarakkan acara-acara keagamaan kebangsaan serta mengukuhkan sokongan terhadap inisiatif negara.
Sepanjang acara perarakan dan majlis perhimpunan di Padang SOAS, yang hadir memperagakan pakaian baju cara Melayu tradisional dan seragam rasmi, mempamerkan disiplin, perpaduan, serta penghormatan yang tinggi terhadap junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ. Suasana perarakan mengelilingi kawasan ibu negara diserikan lagi dengan laungan selawat dan zikir yang bergema, menanamkan rasa cinta dan kesyukuran dalam hati setiap peserta.
Penglibatan Setia Protective Security Services Sdn Bhd dalam acara seumpama ini bukan sahaja bertujuan untuk meraih keberkatan, malah ia menjadi platform penting untuk mengukuhkan ukhuwah dan silaturahim di kalangan kakitangan syarikat, di samping memupuk nilai-nilai murni dan keteladanan yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ untuk diaplikasikan dalam tugas keselamatan seharian.